Dalam zaman sekarang dimana moral umat-umat Katolik semakin runtuh, saya melihat bagaimana (begitu jelas sekali) buta, bisu dan lengahnya mereka yang sepatutnya memainkan peranan memperingati/ menyedarkan umat Katolik akan betapa pentingnya menjauhkan diri dari hal-hal yang akan melemahkan dan seterusnya membinasakan iman Katolik mereka. Seorang Katolik sekarang menghadapi godaan syaitan dari setiap sudut hidupnya bermula dari keluarga sehinggalah pada hal yang dianggap remeh-temeh (misalnya, keperluan bersuara dan berpendirian tegas apabila melihat/ mengetahui sesuatu yang salah). Umat sekarang boleh dikatakan sudah hilang asas pendidikan Katolik sebenar. Dari asas pendidikan yang lemah ini, iman juga menjadi lemah. Mengapakan ini boleh berlaku? Dari mana, sejak bila dan bagaimana ia bermula?
Ramai umat Katolik tidak mengetahuinya, tidak mempercayainya dan ramai juga yang membantah kebenarannya tetapi realiti tetap realiti - satu ‘Revolusi Liturgi’ telah berlaku semasa Konsili Vatikan-II…sekitar tahun 1969, misa Latin digantikan dengan misa Novus Ordo (New Order) atau misa baru dan bermula dari revolusi ini, ianya diikuti pula dengan perubahan-perubahan lain yang banyak merubah dan menghasilkan keadaan iman Katolik pada hari ini…dan kebanyakan umat lebih rela mengikuti arus dari melawannya (follow the flow) dan terlalu ramai yang masih ‘tidur lena’ dan sedikit pun tidak mengambil peduli akan setiap perubahan-perubahan yang berlaku dalam gereja. Bagi mereka ini adalah zaman moden dan manusia mesti berubah, manusia juga perlu menjadi manusia moden. Tetapi Ibrani 13:8 menyatakan ‘Tuhan Yesus Kristus tetap sama, baik kelmarin maupun hari ini dan sampai selama-lamanya’.
Dalam pengalaman hidup saya sebagai seorang Katolik, saya tidak pernah terfikir saya akan menjadi seorang yang dianggap ‘ganjil’ atau ‘lain dari yang lain’. Kalau dahulu saya berfikiran sebagai seorang umat Katolik Novus Ordo atau umat yang setia pada ajaran Vatikan-II, tetapi pada hari ini saya dipandang sebagai seorang Katolik yang sudah jauh terjerumus dengan ajaran sesat…dan saya berhadapan dengan bukan satu atau dua cemuhan dari umat Novus Ordo tetapi jauh lebih dasyhat lagi…..dari uskup-uskup, paderi-paderi , para religius dari pangkat atasan dan juga dari ahli keluarga saya sendiri…Para pembaca mungkin hairan dan bertanya, kenapa pula?
Saya telah menghadiri misa Tridentin atau Misa Tradisional Latin di Kapel Ratu Rosari Kudus (Queen of the Holy Rosary Chapel) di Donggongon, Penampang selama sudah lebih kurang dua tahun. Paderi Tradisional yang merayakan misa Tridentin adalah dari oder Persatuan Santo Pius X (Society of Saint Pius X) dan misa ini selalunya dijadualkan pada minggu ke-empat setiap bulan. Paderi akan berada di KK selama lebih kurang empat hari dan misa dirayakan pada setiap hari selama empat hari itu. Dalam sepanjang tempoh saya menghadiri misa Tridentin, saya mempelajari bagaimana mengenakan pakaian sopan apabila hadir dalam misa dan juga semasa dikhalayak masyarakat. Selain itu saya belajar mengenakan veil semasa misa. Wanita yang mengenakan veil semasa misa adalah wanita yang mengikut peraturan Tuhan. Lihat dan renungkan 1 Kor 11:3-5. Penggunaan veil oleh kaum wanita semasa misa bertujuan untuk wanita merendahkan diri apabila berada didepan Tuhan sama seperti Bonda Maria yang tidak pernah lekang dari memakai veil. Dalam misa ini, umat menerima ‘Tubuh Yesus’ terus pada lidah dan dalam keadaan melutut. Semua roti yang telah dikonsekrasikan oleh paderi adalah Tubuh Yesus dan jika satu cebisan jatuh ke lantai, cebisan itu adalah juga 'Tubuh Yesus'. Maka sebab itulah segala perhatian diberikan semasa roti diedarkan kepada para komuni. Seorang ‘Raja’, yakni Raja segala Raja sedang berada didepan umat, maka semestinya umat mesti mempunyai perasaan ‘gementar’ dan berhati-hati apabila berhadapan dengan-Nya…Keadaan dan suasana yang sedemikian tidak ada lagi di gereja Novus Ordo. Benarkah umat dalam gereja ini masih mempercayai akan kehadiran Yesus pada roti? Jika ya, mengapakah perbuatan mereka tidak mencerminkan kepercayaan mereka? Lex Orandis Lex Credentis...cara umat berdoa dalam gereja menunjukkan kepercayaan mereka.
Misa adalah dalam bahasa Latin kecuali semasa khutbah atau homili paderi. Walaupun, misa adalah dalam bahasa Latin tetapi umat tetap dapat mengikuti atau dapat memahaminya kerana dalam buku misa Latin, ianya mempunyai terjemahan dalam bahasa Inggeris dan Bahasa
Saya tanyakan pada diri ini? Adakah semua pengorbanan saya ini berbaloi? Pengorbanan demi untuk mempertahankan iman Katolik yang sebenar…iaitu mengikuti ajaran sebelum Vatikan-II. Saya inginkan penyelamatan roh saya, juga roh-roh ahli keluarga saya. Tetapi hari ini saya melihat gereja tidak melakukan kerja yang sepatutnya. Doktrin baru diperkenalkan, Dokma gereja ‘dipijak-pijakkan’…Renungkan Gal 1:8 – tetapi sekalipun kami atau seorang malaikat dari syurga yang memberitakan kepada kamu suatu injil yang berbeda dengan injil yang telah kami beritakan kepadamu, terkutuklah dia.
Apakah iman Katolik yang sebenar? Adakah cukup dengan hanya menghadirkan diri dalam misa baru setiap minggu?…Apakah begitu mudah untuk memasuki Syurga? Apakah Yesus begitu senang melalui segala penderitaan semasa disalibkan agar manusia memperolehi peluang untuk masuk syurga? Bagaimana dengan Santo-santa? Adakah ianya begitu mudah bagi mereka, mempertahankan iman Katolik? Santo-santa telah melalui banyak penderitaan, sehingga sanggup berkorban dengan memberikan nyawa mereka hanya kerana enggan bertolak-ansur/ tunduk pada permintaan musuh, iaitu murtad pada gereja Katolik. Saya menggunakan contoh ini untuk mengingati umat Katolik bahawa dunia ini adalah pentas pertarungan kepada kita semua. Dalam Efesus 6:12…perjuangan kita bukanlah melawan darah dan daging, tetapi melawan pemerintah-pemerintah, melawan penguasa-penguasa, melawan penghulu-penghulu dunia yang gelap ini, melawan roh-roh jahat diudara.
Syaitan sangat bijak. Ia tahu kelemahan manusia, sentiasa mencari jalan bagaimana menjatuhkan anak-anak Adam-Hawa. Sebenarnya keadaan dahulu dan sekarang masih tidak berubah. Bezanya cuma, zaman sekarang adalah zaman moden, zaman serba-serbi dimana kebanyakan ibubapa bekerja dan anak-anak lebih dimanjakan. Melihatkan pada kesenangan dan ketidak prihatinan manusia yang begitu leka dan sombong dengan pencapaian mereka dalam dunia teknologi, syaitan telah terlebih dahulu mengatur strategi, agar memperolehi hasil tuai yang banyak sekali, agar neraka lebih ‘meriah’. Syaitan tahu dia akan mendapat roh paling banyak dengan menjatuhkan orang atasan dalam gereja dahulu. Umat lebih banyak hanya menurut sahaja apa yang diajarkan oleh para religius. Bayangkan akibatnya apabila para religius mengkhutbahkan ajaran salah dan umat hanya menurut sahaja...
Bonda Maria Fatima, doakanlah kami!
4 comments:
Adakah kita harus setia kepada ajaran baharu Konsili Vatican II (yang bersifat pastoral sahaja) atau kepada ajaran Gereja Roman Katolik yang kekal utuh sejak 2000 tahun yang lalu?
Jawapannya sungguh jelas, para uskup, paderi dan umat Katolik harus setia kepada setiap ajaran, doktrin dan dogma iman Katolik seperti yang diajar oleh Tuhan Yesus dan para rasul.
Adakah patut kita hapuskan ajaran semua konsili termasuk Konsili Vatican I dan digantikan dengan ajaran baharu Vatican II?
Konsili Vatican II adalah bersifat pastoral dan tidak berkuasa untuk membuat penemuan baharu. Kononnya Konsili Vatican II telah menemui 'kesedaran' baharu adalah karut semata-mata. Malah Gereja Roman Katolik juga diubah menjadi Gereja Konsiliar (Conciliar Church) walaupun nama ini tidak begitu popular.
Gereja TIDAK BERKUASA untuk menemukan dan mengajar doktrin asing. Apatah lagi untuk mengubah ajaran Tuhan Yesus!
Adakah kita mempunyai pilihan? Sememangnya kita diberi pilihan. Umat Sabah beruntung kerana Misa Latin Tradisional dirayakan setiap minggu keempat setiap bulan oleh paderi SSPX.
Kembalilah kepada Gereja Roman Katolik kerana Gereja itu benar-benar 'Roman' dan benar-benar 'Katolik'. Misa yang dirayakan sama seperti yang dirayakan oleh para sangti dan orang kudus.
Tujuan ‘bicara hati’ ini bukanlah untuk mengutuk para religius dan umat yang taat kepada ajaran Vatikan Konsili-II. Tujuan saya cuma ingin menyedarkan…selagi hayat dikandung badan; kalau pun cuma seorang sahaja yang dapat saya sedarkan atau saya katakan menerima kurnia kesedaran (the grace of understanding), ianya sudah cukup menggembirakan hati saya.
Para religius dan umat yang mengikuti ajaran Vatikan Konsili-II sebenarnya tidak salah sepenuhnya kerana saya pasti niat didalam hati adalah untuk mematuhi peraturan-peraturan gereja dan juga keinginan untuk sentiasa taat dan setia kepada Paus. Ini tidak salah. Cuma masalahnya, keadaan gereja sekarang tidak sama dengan keadaan gereja semasa iman Katolik masih ‘tulin’. Mendiang Sister Lusia ada mengatakan, jika umat tidak bertaubat dan melakukan kerja-kerja penebusan dan jika mereka meneruskan juga perbuatan-perbuatan yang menyakiti hati Tuhan, satu malapetaka dasyhat akan menimpa dunia (lebih teruk dari banjir besar semasa zaman Noah); api dari syurga akan turun, banyak negara akan lenyap dari mukabumi, banyak nyawa akan terkorban dan mereka yang terselamat tidak akan hidup bahagia sebaliknya merasa irihati dengan yang sudah mati (Renungkan keadaan ini…). Paus akan melalui banyak penderitaan. Tujuan Bonda Maria menampakkan dirinya di Fatima pada tahun 1917 kepada tiga budak gembala, adalah untuk menyelamatkan anak-anaknya didunia. Namun sehingga hari ini permintaan-permintaan Bonda Maria masih belum ditunaikan dan para religius tidak mengambil serius akan permintaan bonda Yesus (Apabila saya menjelaskan mesej Fatima, saya sering dituduh memperbesar-besarkan kedudukan bonda Yesus sehingga ada yang mengatakan saya menyamakan Maria dengan Tuhan). Akibatnya dunia semakin ‘kronik’; peperangan, bencana alam, wabak-penyakit, masalah moral menjadi semakin tidak terkawal. Dalam testamen lama, Tuhan tidak mengabaikan umatnya semasa kesusahan, Dia menghantar profet2-Nya untuk memberi amaran dan cara2 mengelak kesusahan itu, namun kedegilan tetap menguasai fikiran dan hati manusia. Tetapi zaman akhir ini, Tuhan menghantar lebih dari seorang profet...Dia menghantar ibu-Nya sendiri untuk membantu kita semua. Sebelum banjir besar, profet Noah beberapa kali menasihati umat2, juga menjemput mereka untuk naik ke bahtera besar (Noah's Ark), malangnya tidak satu pun mempercayainya (kecuali ahli2 keluarganya). Maria adalah 'bahtera' (Ark) pada zaman ini. Sesiapa yang mendengarnya akan diselamatkan.
Bacalah Alkitab dengan baik-baik dan renungkan petanda zaman akhir … Dalam Lukas 18:8 “ …jika Anak Manusia itu datang, adakah Ia mendapati iman di bumi?” Apakah masih ada iman Katolik apabila Tuhan Yesus kembali ke bumi pada kali kedua? Kemurtadan secara besar-besaran tanpa umat menyedari tentangnya (silent apostasy) sedang berlaku pada zaman ini. Dogma ‘Extra Ecclesiam Nulla Salus’ (diluar Gereja Katolik tiada penyelamatan) iaitu dogma tentang penyelamatan roh telah diketepikan…
sekiranya Mahkamah (Kerajaan Malaysia) memutuskan "Allah" tidak lagi boleh digunakan oleh kristian apakah implikasinya kepada umat kristian khususnya di Sabah yang 99.99% menggunakan BM? Adakah Gereja sudah bersedia dgn kemungkinan2 keputusan tersebut dan apakah alternatif2 yang kita ada? Adakah kita harus kembali kepada 100% penggunaan BI? mungkin bahasa KDM (tapi bukan semua penganut Kristian di Sabah adalah KDM) ...mungkin ini sebahagian daripada grand design utk meminggirkan umat Kristian!!
Shalom
Sekiranya Kerajaan Malaysia mengharamkan penggunaan “Allah”, implikasi yang berkemungkinan timbul antaranya adalah seperti berikut:
1. Alkitab yang dijual di Malaysia samada dalam versi Bahasa Indonesia atau Bahasa Melayu semuanya menggunakan perkataan “Allah” sebagai nama yang diberikan kepada Tuhan; maka jika ini terjadi, semua Alkitab akan dirampas dan dimusnahkan.
2. Gereja terpaksa menukarkan semua perkataan “Allah” kepada “Tuhan” jika inginkan Alkitab dalam Bahasa Melayu, sebagai menuruti undang2 kerajaan. (Saya lebih suka perkataan ‘Tuhan’ sebenarnya, cuma ianya mungkin akan melibatkan kos yang tinggi dalam percetakan semula Alkitab)
Saya kurang pasti jika Gereja Roman Katolik telah bersedia menghadapi kemungkinan sedemikian. Masalah ketiadaan Alkitab ini hanya akan dihadapi oleh umat-umat yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Tetapi bagi pendapat saya, jika uskup2, paderi2 dan para religius memainkan peranan mereka, hal ini tidak sepatutnya menjadi masalah. Saya yakin di Sabah ini ramai para religius adalah terdiri dari kaum bumiputera (rasanya lebih 90% adalah kaum bumiputera). Mereka boleh membantu umat yang menghadapi masalah ketiadaan Alkitab ini.
Komen saudara tentang ‘…mungkin ini sebahagian daripada grand design utk meminggirkan umat Kristian!!’ …saya rasa saudara juga tahu undang2 di negara kita dan juga undang2 di Syurga (ianya tidak akan ada persamaan)…tapi jika dibandingkan dengan negara Cina, umat Katolik yang setia kepada Tuhan dinegara itu terang-terang diseksa dan ramai yang terpaksa bersembunyi (Catholic Underground) kerana tidak boleh menyatakan (profess) iman katolik sebenar (pada masa ini, negara komunis Cina hanya memberikan kebenaran sepenuhnya kepada gereja Katolik Patriotik...gereja yang patuh pada pemerintahan komunis, dikawal oleh kerajaan komunis dan menyatakan iman Katolik yang palsu) …suatu ketika dahulu Alkitab telah juga diharamkan dan sesiapa yang didapati menyorok Alkitab sahaja boleh dihukum bunuh…renungkan keadaan ini. Shalom.
Post a Comment