Friday, July 31, 2009

Apakah pesanan Maria di Fatima?

Apakah pesanan Bonda Yesus kepada tiga budak gembala semasa penampakkannya di Fatima? Sehingga hari ini, terlalu sedikit jumlah umat Katolik yang mengetahui tentang cerita ‘Fatima’ ini. Saya percaya jumlah umat yang tidak sedar, tidak tahu langsung tentang peristiwa ini adalah sangat besar. Sebenarnya sudah terlalu banyak cerita ‘Fatima’ yang telah ditulis dan dimuatkan ke dalam halaman web di internet (kebanyakkannya dalam bahasa Inggeris), namun keadaannya adalah seperti ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’…para religius juga amat jarang atau (seakan-akan) hampir tidak pernah menceritakan tentangnya.


Mungkinkah juga masalah bahasa menjadi penghalang kepada penyebaran pesanan-pesanan di Fatima ini? Sepanjang riwayat hidup saya, saya cuma mendengar cerita ‘Fatima’ yang disensasikan dan ianya banyak disampaikan dalam bentuk ‘surat berantai’ yang (pada pendapat saya) bertujuan untuk menakut-nakutkan umat dari cuba menerangkan perkara sebenar. Pada posting saya kali ini, saya akan membuat huraian pendek/ suatu ringkasan tentang pesanan-pesanan bonda Yesus di Fatima. Huraian ini adalah berdasarkan buku yang ditulis oleh Paderi John de Marchi, didalam bukunya yang berjudul ‘Cerita Benar tentang Fatima’ (The True Story of Fatima).


Sebelum bonda Yesus, iaitu Perawan Maria menampakkan dirinya kepada tiga budak gembala pada tahun 1917 iaitu, Lusia, Jasinta dan Fransisko, malaikat penjaga negara Portugal (Guardian angel of Portugal) terlebih dahulu menampakkan dirinya sebanyak dua kali pada tahun 1916 kepada budak-budak itu. Malaikat ini mengajar budak-budak itu beberapa doa.


Pada 13 Mei, tahun 1917, buat pertama kalinya, bonda Maria menampakkan dirinya kepada budak-budak itu. Ini seterusnya diikuti pula dengan lima lagi penampakkan, dengan setiap penampakkan berlaku pada 13haribulan setiap bulan kecuali pada bulan Ogos, apabila budak-budak itu telah dicolek dan dikurung dalam rumah majistret. Budak-budak itu telah dituduh menyebarkan cerita palsu dan mereka dianggap bertanggungjawab menyesongkan ramai umat. Tetapi hakikatnya, mereka hanyalah budak-budak gembala yang lurus, yang mempunyai hati yang murni, yang hanya berminat untuk mengongsikan perkara yang telah dilihat dan dilalui oleh mereka. Mungkin ramai yang berfikir, betulkah cerita Fatima ini? Mungkinkah budak-budak itu telah ‘membuat’ cerita? Apakah bukti ianya adalah dari Tuhan? Satu kajian teliti telah dibuat mengenai penampakkan ini dan paus telah pun mengumumkan akan kesahihan/ kebenaran cerita Fatima. Antara mereka bertiga, Fransisko adalah yang pertama meninggal dunia iaitu pada 4 Apr 1919. Jasinta meninggal pada 20 Feb, 1920. Lusia menjadi seorang rahib dan meninggal pada 13 Feb 2005.


Pesanan-pesanan bonda Yesus di Fatima (disampaikan kepada tiga budak gembala):


i. Penampakkan pertama - Perawan Maria menjanjikan syurga kepada ketiga budak-budak gembala itu.


ii. Penampakkan kedua (13 Jun 1917) – “Semasa berdoa Rosari, masukkan doa ini sebelum misteri, "Ya Yesus yang baik, ampunilah dosa-dosa kami. Selamatkanlah kami dari api neraka, dan hantarlah jiwa-jiwa ke syurga, terlebih jiwa-jiwa yang sangat membutuhkan kerahiman-Mu. Amin."


ii. Penampakkan ketiga (13 Julai 1917) – “Kamu telah melihat neraka – tempat dimana roh-roh pendosa dimasukkan. Untuk menyelamatkan banyak roh, Tuhan mengkehendaki Devosi kepada Hati Suci saya disebarkan ke seluruh dunia. Untuk mengelakkan peperangan, kebuluran, penentangan terhadap gereja dan Paus, saya meminta KONSEKRASI NEGARA RUSSIA KEPADA HATI SUCI SAYA dan KESATUAN/ KOMUNI DALAM KERJA-KERJA PENEBUSAN PADA SETIAP HARI SABTU PERTAMA SETIAP BULAN. Jika permintaan saya dipenuhi, Russia akan menjadi Negara Katolik, dan dunia akan aman damai. Jika permintaan saya tidak dibuat, Russia akan menyebarkan ‘kejahiliannya’ keseluruh dunia dan peperangan dan penentangan hebat terhadap gereja akan terjadi; ramai umat baik akan menjadi martir, paus akan menderita, dan banyak negara akan lenyap; tetapi akhirnya HATI SUCI SAYA AKAN MENANG. Paus akan mengonsekrasikan Russia kepada Hati Suci say, banyak jiwa yang akan dimenangi, dan satu keamanan akan diberikan kepada dunia. Di Negara Portugal, dogma iman akan tetap dipeliharai etc”


iii. Penampakkan keempat ( 19 Ogos 1917) – “Saya akan membuat mukjizat pada bulan terakhir iaitu bulan Oktober. Santo Yosef akan datang dengan Yesus (sebagai seorang bayi) untuk memberikan keamanan kepada dunia. Tuhan Yesus akan datang memberkati umat. Disamping itu, Maria sebagai Wanita Rosario (Our Lady of Rosary) dan Wanita Sedih (Our Lady of Sorrow) akan juga datang.”


iv. Penampakkan kelima (13 Sept 1917) – Ulangan pesanan keempat.


v. Penampakkan keenam (13 Okt 1917) – Peristiwa yang paling bersejarah dalam gereja Katolik iaitu ‘Mukjizat Matahari’. Ianya disaksikan oleh lebih kurang 70,000 orang.

No comments: