Tuesday, August 18, 2009

Apakah tu GIRM?

Apakah itu GIRM? Ianya adalah 'General Instruction in the Roman Missal' atau 'Arahan umum dalam Misa Roman'. Baru-baru ini, pada 9 Ogos 2009, suratkhabar Daily Express telah mengeluarkan berita bahawa konferensi uskup MSB (Malaysia-Singapura-Brunei) yang telah diadakan di Bundu Tuhan telah meluluskan 400 arahan yang telah diadaptasikan dengan keperluan umat tempatan dan semua diosis diminta melaksanakan adaptasi tersebut sebelum tarikh Nov 29, 2009.

Encik Neil Mah, sekretari kepada Komisi Liturgi archdiosis KK, mengatakan bahawa GIRM ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Menurutnya, edisi pertama GIRM adalah tahun 1969, dan yang terbaru merupakan edisi ketiga, iaitu tahun 2002. Apa yang menghairankan disini ialah, mengapakah kenyataan yang dibuat oleh Encik Mah seolah-olah berbau 'kenyataan yang tiada pendirian'...dia mengatakan GIRM terbaru bukanlah sesuatu yang baru, hanya mengukuhkan lagi arahan-arahan GIRM 1969 agar ianya menjadi perkara biasa (norm), lalu menyentuh tentang perubahan yang berlaku semasa edisi kedua. Semasa GIRM edisi pertama, umat dikehendaki duduk semasa persembahan (offertary), semasa edisi kedua umat dikehendaki berdiri dan sekarang dalam edisi ketiga umat diminta kembali duduk semasa persembahan...

Kenyataan Encik Mah ini juga menunjukkan krisis dalam gereja Roman Katolik menjadi semakin serius. Menurut En. Mah, GIRM yang dilaksanakan di setiap diosis gereja RC adalah tidak sama kerana konferensi uskup (mengikut jurisdiksi) perlu melakukan adaptasi mengikut keperluan umat tempatan. Ini bermaksud GIRM di Kota Kinabalu tidak sama dengan GIRM gereja RC di Indonesia, Jepun, Korea atau Filipina. Ini juga bermaksud apabila seorang umat Roman Katolik dari Kota Kinabalu menghadiri misa di Jepun, dia terpaksa mengikut misa GIRM adaptasi umat Jepun.

Empat tanda gereja benar adalah SATU, KUDUS, KATOLIK dan APOSTOLIK (One, Holy, Catholic and Apostolic). Ini bermaksud Gereja Roman Katolik perlu ada kesatuan, sentiasa universal atau sama diseluruh dunia. Misa RC di Kota Kinabalu mesti sama dengan misa RC di Amerika Syarikat. Misa RC perlu sama walau dimana jua gereja seorang Katolik hadiri (pengecualian diberi kepada gereja Ortodoks). Adaptasi ini akan memusnahkan tanda-tanda gereja benar. Hanya gereja Roman Katolik sahaja, gereja yang diasaskan oleh Tuhan Yesus Kristus, mempunyai empat tanda gereja benar ini. Dengan pelaksanaan GIRM ini, bagaimanakah keadaan gereja nanti? Akibatnya...akan sentiasa ada perubahan...perkataan adaptasi berasal dari perkataan Bahasa Inggeris iaitu 'adapt' yang membawa maksud 'menyesuaikan'. Jika kita renungkan perkataan 'menyesuaikan' ini, ia bermaksud 'membuat perubahan agar penyesuaian dapat dilaksanakan'. Para modenis yang memperkenalkan GIRM ini sedar akan perubahan besar yang bakal berlaku...inilah yang dinanti-nantikan oleh mereka. Suatu misa ciptaan manusia dan bukannya ciptaan Tuhan.

Fikirkanlah...bukankah ini juga lebih kurang sama maksudnya dengan umat 'mengikut arus' (follow the flow); satu teologi baru telah diperkenalkan dalam liturgi. Bukankah Yesus sudah mengatakan Ia akan sentiasa sama; dalam Ibrani 13:8: 'Yesus Kristus tetap sama, baik kelmarin maupun hari ini dan sampai selama-lamanya.' Alasan perlunya GIRM dilaksanakan, adalah agar umat lebih memahami dan mudah menyertai misa. Perlukah adanya perubahan yang mengikut keperluan manusia...bukankah keperluan Tuhan yang patut diutamakan? Bagaimana dengan buahnya nanti jika keutamaan manusia sering ditekankan...manusia menjadi semakin sombong dan perasaan gementar terhadap Tuhan semakin pudar...GIRM hanya menunggu masa kegagalan...

Friday, August 7, 2009

Mengapa saya memilih Misa Tradisional Latin?

Apabila saya cuba mempromosikan Misa Tradisional Latin kepada bapa saya, dia menjawab, “tidak kira apa jenis misa (antara misa Novus Ordo atau Misa Latin) seseorang hadiri, ianya tidak penting…yang penting adalah hati seseorang. Lagipun siapa lagi yang boleh memahami bahasa Latin…”. Kalau dahulu saya tidak akan bersetuju dengan pendapat bapa saya ini, tetapi sebagai orang tua yang lebih berpengalaman, seorang yang terlebih dahulu makan garam, saya akur kata-katanya itu ada juga kebenarannya, jika dilihat secara fikiran terbuka.


Saya mungkin tidak akan berfikiran sedemikian jika bukan kerana teman seiman yang beberapa bulan lalu telah membuat skandal. Apalah gunanya menjadi ‘tin kosong’, yang hanya kuat bunyinya apabila diketuk tetapi didalamnya kosong belaka. Apalah gunanya pengetahuan dogma dan doktrin yang setinggi gunung Everest jika tiada kemurahan hati (Charity)…kesedaran tentang krisis dalam gereja perlu diikuti dengan sikap tanggungjawab terhadap umat. Tetapi nampaknya, umat yang menghadiri misa Latin tidak juga kebal dari godaan syaitan…begitu juga paderi tradisional bukan semuanya kudus dan oh ya, mengenai bahasa Latin, saya juga tidak berapa memahaminya. Selain boleh berdoa ‘Bapa Kami’, ‘Salam Maria’, ‘Gloria..’ dan beberapa doa lain dalam bahasa Latin, selebihnya saya masih berpandukan buku misa yang ada terjemahannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia.


Jadi, mengapakah saya masih memilih menghadiri Misa Tradisional Latin atau Misa Tridentin ini? Setelah saya renungkan perkara ini, saya memutuskan ada beberapa sebab mengapa ‘Misa Latin’ tetap menjadi misa pilihan saya.


  1. Ianya adalah misa Santo-santa. Santo-santa yang terkenal (semuanya santo-santa sebelum 1960-an) hanya tahu satu jenis misa sahaja – Misa Tradisional Latin/ Misa Tridentin. Mereka tidak pernah membuat aduan akan masalah bahasa Latin. Segala berkat dan grasia yang mereka terima adalah melalui misa ini. Dalam erti kata lain, mereka menjadi santo-santa kerana misa ini.
  2. Mukjizat Ekaristi (http://www.therealpresence.org/eucharst/mir/engl_mir.htm) boleh dibaca dihalaman web ini, berlaku banyak sekali sebelum zaman Vatikan-II. Dalam era Vatikan-II, jumlah mukjizat Ekaristi ini boleh dikira dengan jari satu tangan sahaja. Pada pendapat saya, perbezaan jumlah mukjizat yang ketara sebelum dan selepas Vatikan-II menunjukkan iman Katolik pada zaman dahulu adalah sangat teguh. Tuhan memberikan ‘hadiah’ mukjizat ini kerana umat kuat berdoa, terutamanya doa Rosario (doa untuk memenangi sebanyak jiwa yang boleh) dan melalui mukjizat ini, penganut gereja Katolik semakin bertambah. Bandingkan keadaan gereja sekarang? Ekumenisma Vatikan-II langsung tidak mengalakkan penganut murtad atau umat dari agama lain menganut agama Katolik…yakni penyebaran agama tidak lagi menjadi agenda utama gereja sekarang (gereja tidak lagi Apostolik).
  3. Misa ini juga tidak mudah di ‘tembusi’ (impenetrable) dengan ajaran sesat (heresy). Cara-cara penyembahan kumpulan karismatik dan kumpulan Neo-Cathecumenate (asal-usul dari ajaran sesat-protestan) tidak akan dapat disesuaikan (not compatible) dengan cara misa Latin. Misa ini adalah sangat serius (solemn); ianya memusatkan kepada Tuhan (God centered) dibandingkan dengan Misa Novus Ordo yang mana ianya memusatkan kepada manusia (man-centered). Semasa perayaan misa Latin, paderi menghadap ‘Tabernakel’, membelakangi umat; sebaliknya dalam misa Novus Ordo, paderi menghadap umat dan membelakangi ‘Tabernakel’. Disebabkan ciri ini jugalah, misa Latin sentiasa mendapat tentangan hebat dari musuh gereja. Musuh gereja cuba melarang atau memburuk-burukkan misa ini walaupun mereka tahu dengan jelas tidak ada arahan dari paus dahulu dan sekarang yang melarang misa ini dirayakan. Sebaliknya Santo Paus Pius V mengkodifikasikan misa ini dalam 'Papal Bull' pada tahun 1570 agar umat tidak risau tentang kesahihan misa ini. Semenjak ajaran Vatikan-II menular ke hampir kesemua gereja-gereja Katolik di Sabah, banyak Tabernakel telah dipindahkan ke dalam kapel adorasi (adoration chapel), selalunya lokasi bangunan ini bersebelahan dengan gereja. Kita biasanya mengatakan gereja adalah ‘Rumah Tuhan’, yakni tempat kediaman Tuhan. Tetapi apakah yang sudah terjadi sekarang? ‘Rumah Tuhan’ telah menjadi semakin kecil…gereja sekarang lebih berfungsi sebagai dewan.
  4. Jika kita mempersembahkan sesuatu kepada Tuhan (dalam misa), Tuhan dapat melihat keadaan sebenar (niat paderi dan umat), adakah ianya persembahan yang terbaik atau hanya ala sekadar? Tidak dinafikan, keadaan dan suasana sekeliling dalam gereja boleh mempengaruhi fikiran umat yang hadir dalam misa. Dalam Kejadian 4:3-5, ‘Setelah beberapa waktu lamanya, maka Kain mempersembahkan sebahagian dari hasil tanah itu kepada Tuhan sebagai korban persembahan; Habel juga mempersembahkan korban persembahan dari anak sulung kambing dombanya, yakni lemak-lemaknya; maka Tuhan mengindahkan Habel dan korban persembahannya itu, tetapi Kain dan korban persembahannya tidak diindahkan-Nya. Lalu hati Kain menjadi sangat panas dan mukanya sangat muram.’ Tolong jelaskan kepada saya bagaimana gereja boleh memberikan persembahan terbaik jika suasana dalam gereja tidak mencerminkan ‘kekudusan niat’ umat-umat. Cara berpakaian yang tidak sopan dan sikap umat yang datang cuma untuk memenuhi tanggungjawab hujung minggu, tidak kurang juga yang datang untuk bertemu kawan…dan bagaimana dengan khutbah paderi-paderi, adakah mereka menyebar iman Katolik sebenar? Renungkan dari pengalaman saudara-saudari sendiri…
  5. Terlalu banyak perubahan yang telah berlaku dalam gereja dan perubahan ini nampaknya belum ada tanda-tanda ianya akan berhenti …dan yang terbaru saya dengar adalah tentang GIRM (General Instruction of the Roman Missal) mengariskan 399 perubahan dalam liturgi. (Perkara ini saya dengar dari seorang kawan, entah betul kah tidak… ). Mengapa kah perlu mengubah liturgi yang pada asalnya sudah pun sempurna??? Bagaikan manusia buta yang hilang penglihatan, lalu meraba-raba mencari haluan, nampaknya begitu juga keadaan gereja Katolik pada masa ini…

Saya ingin menekankan disini bahawa walaupun gereja sedang melalui krisis, saya pasti ada umat Novus Ordo yang benar-benar kudus dan ada juga uskup, paderi dan para religius Novus Ordo yang juga kudus…mereka benar-benar dengan ikhlas menyahut panggilan Tuhan dan bekerja keras membimbing umat ke jalan yang benar. Cuma dalam hal ini mereka mungkin kurang didedahkan kepada isu-isu krisis dalam gereja (atau mungkin juga langsung tidak mendapat maklumat). Saya amat menghormati mereka dan saya pasti Tuhan akan menjaga mereka. Saya juga ingin menyatakan disini, walaupun umat yang menghadiri misa Latin tahu selok-belok krisis gereja tetapi tidak menunjukkan sifat-sifat kekudusan, tidak menunjukkan sikap murah hati, dan cuma mementingkan diri sendiri, hukuman yang menanti adalah jauh lebih berat kerana mereka telah diberi ‘telinga untuk memahami’. Saya doakan agar Tuhan membuka lebih ramai hati umat Katolik di Sabah menghadiri Misa Tradisional Latin.