Thursday, October 13, 2011

Perang Terhadap Roh-roh Jahat di Dunia

"Kerana perjuangan kita bukanlah melawan darah dan daging, tetapi melawan pemerintah-pemerintah, melawan penguasa-penguasa, melawan penghulu-penghulu dunia yang gelap ini, melawan roh-roh jahat di udara." - Efesus 6:12

Petikan Alkitab diatas bukanlah sesuatu yang baru bagi saya. Pengalaman yang saya tempuhi sejak kebelakangan ini membuatkan petikan ini lebih 'menonjol', menyebabkan pengertian saya terhadap petikan ini lebih mendalam.

Sebelum itu saya ingin mengongsikan tentang buku dari seorang pengkhutbah yang beragama Protestan. Pengkhutbah ini adalah cucu kepada seorang nenek yang sangat terkenal dengan kuasa ilmu sihirnya. Saya katakan begitu kerana bayangkan nenek ini boleh bertapa di atas api selama berhari-hari dan ini diakui benar oleh si cucu. Nenek ini sebelum ia meninggal dunia sempat menurunkan ilmunya kepada cucunya. Si cucu pula suatu hari bertemu dengan seorang pengkhutbah dan dicabar untuk 'berperang', bertujuan menyedarkan si cucu, yang pada masa itu adalah seorang pengamal ilmu yang, walaupun masih muda tapi sudah sangat kebal dengan bermacam-macam jenis ilmu yang dikira sangat tinggi berbanding dengan pengamal-pengamal ilmu yang seangkatan dengannya. Dipendekkan cerita, cucu ini kalah dalam 'peperangan' dengan pengkhutbah tadi, menjadi gila selama beberapa tahun dan mengikut kesaksiannya, disembuhkan oleh Tuhan Yesus, lalu menjadi pengkhutbah yang membongkar segala penipuan dalam dunia roh-roh sesat. Tujuan saya disini bukanlah untuk mempromosikan agama Protestan tetapi 'memperkuatkan' petikan Alkitab diatas iaitu Efesus 6:12. Pengkhutbah yang sudah insaf itu mengatakan selama dia berkecimpung dalam dunia roh jahat, dia melihat bahawa roh-roh jahat ini atau iblis atau syaitan menjadi pemerintah/ penguasa/ penghulu mengikut teritori yang diberikan oleh ketua mereka. Inilah yang dimaksudkan oleh petikan diatas...ya, gambarannya adalah seperti satu kerajaan yang bersistem monarki...kamu pasti boleh meneka siapa raja monarki ini...

Iblis atau syaitan pada asalnya dicipta sebagai malaikat. Tetapi mereka, dikatakan satu pertiga dari jumlah malaikat-malaikat di syurga, telah memberontak, lalu dibuang ke neraka dan dipanggil iblis/ syaitan. Walaupun namanya adalah iblis tetapi mereka masih berpegang kepada sistem pemerintahan di Syurga. Malaikat-malaikat yang suci bekerja mengikut sistem ini. Mereka bekerja untuk satu-satunya Tuhan yang benar, Triniti Kudus (Holy Trinity).

Dalam cara pemerintahan yang sama, di dunia, Yesus telah memilih Petrus menjadi Paus , ketua Gereja Roman Katolik yang pertama dan mengatakan kepadanya,

"Dan Aku pun berkata kepadamu: Engkau adalah Petrus dan di atas batu karang ini Aku akan mendirikan jemaat-Ku dan alam maut tidak akan menguasainya. Kepadamu akan Kuberikan kunci kerajaan Syurga, apa yang kau ikat di dunia ini akan terikat di Syurga dan apa yang kau lepaskan di dunia ini akan terlepas di Syurga." - St. Mat 16:18-19

Ini bermakna Paus adalah satu-satunya manusia yang memegang kunci-kunci kerajaan Syurga dan segala yang diperbolehkannya juga diperbolehkan oleh Syurga dan segala yang TIDAK diperbolehkan olehnya juga TIDAK diperbolehkan oleh Syurga. Santo Ambrose mengatakan, "Dimana Petrus berada, disitulah Gereja berada".

Gereja mempunyai undang-undang dimana para kardinal, biskop dan paderi juga bekerja mengikut teritori atau jurisdiksi yang ditentukan oleh Paus. Kesemua para religius yang bekerja dibawah Paus adalah dalam kesatuan yang disebut 'Tubuh Mistikal Tuhan Yesus Kristus'. Maka sesiapa para religius, organisasi dan umat biasa yang berada diluar dari kesatuan ini, tidak layak dipanggil 'Roman Katolik'.

Satu contoh: paderi yang ingin melakukan 'pengusiran syaitan' perlu mendapatkan kebenaran dari biskop yang mempunyai jurisdiksi keatas penganut yang dirasuk syaitan itu. Maksudnya dimanakah penganut yang dirasuk ini tinggal? Jika ia tinggal di kawasan diosis Kota Kinabalu, maka perlu meminta kebenaran dari biskop diosis Kota Kinabalu terlebih dahulu. Umat biasa tidak boleh melakukan pengusiran syaitan. Saudara-saudari, saya menggunakan contoh ini kerana ia adalah kes dimana kita bukan melawan 'daging dan darah' tetapi roh-roh jahat...terlalu bahaya sekiranya terlalu memandai-mandai. Ada banyak kes dimana mereka yang melanggar undang-undang gereja ini jatuh teruk...ini termasuk seorang paderi tempatan yang dikatakan mempunyai 'kuasa' melihat, menangkap dan berbicara dengan syaitan, tidak kurang juga umat biasa yang menganggap diri mereka diberi 'anugerah' sehingga boleh berbicara dalam bahasa yang aneh-aneh.

Walaupun sesebuah organisasi itu kenampakkan penganut-penganutnya lebih kudus dan mungkin juga 'lebih Katolik', sekiranya ia berada di luar dari yang 'diperbolehkan' oleh paus, maka ia TETAP bukan Roman Katolik.

1 comment:

Unknown said...

Dalam pergolakan hidup kita sehari-hari, kita dengan mudah terperangkap dengan pengaruh2 dari Iblis. Hanya iman yang kuat dan bersandarkan pada Yesus sahaja yang mampu menyelamatkan kita. Saya sendiri dalam pelayanan sehari-hari juga sangat mencabar. Kehidupan sebagai karismatik juga amat melelahkan tetapi kasih Yesus yang mampu menguatkan saya dan membuatkan saya terus meneruskan perjalanan iman ini. Hanya kuasa Tuhan yang mampu menyembuh dan menyelamatkan..