Tuesday, August 18, 2009

Apakah tu GIRM?

Apakah itu GIRM? Ianya adalah 'General Instruction in the Roman Missal' atau 'Arahan umum dalam Misa Roman'. Baru-baru ini, pada 9 Ogos 2009, suratkhabar Daily Express telah mengeluarkan berita bahawa konferensi uskup MSB (Malaysia-Singapura-Brunei) yang telah diadakan di Bundu Tuhan telah meluluskan 400 arahan yang telah diadaptasikan dengan keperluan umat tempatan dan semua diosis diminta melaksanakan adaptasi tersebut sebelum tarikh Nov 29, 2009.

Encik Neil Mah, sekretari kepada Komisi Liturgi archdiosis KK, mengatakan bahawa GIRM ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Menurutnya, edisi pertama GIRM adalah tahun 1969, dan yang terbaru merupakan edisi ketiga, iaitu tahun 2002. Apa yang menghairankan disini ialah, mengapakah kenyataan yang dibuat oleh Encik Mah seolah-olah berbau 'kenyataan yang tiada pendirian'...dia mengatakan GIRM terbaru bukanlah sesuatu yang baru, hanya mengukuhkan lagi arahan-arahan GIRM 1969 agar ianya menjadi perkara biasa (norm), lalu menyentuh tentang perubahan yang berlaku semasa edisi kedua. Semasa GIRM edisi pertama, umat dikehendaki duduk semasa persembahan (offertary), semasa edisi kedua umat dikehendaki berdiri dan sekarang dalam edisi ketiga umat diminta kembali duduk semasa persembahan...

Kenyataan Encik Mah ini juga menunjukkan krisis dalam gereja Roman Katolik menjadi semakin serius. Menurut En. Mah, GIRM yang dilaksanakan di setiap diosis gereja RC adalah tidak sama kerana konferensi uskup (mengikut jurisdiksi) perlu melakukan adaptasi mengikut keperluan umat tempatan. Ini bermaksud GIRM di Kota Kinabalu tidak sama dengan GIRM gereja RC di Indonesia, Jepun, Korea atau Filipina. Ini juga bermaksud apabila seorang umat Roman Katolik dari Kota Kinabalu menghadiri misa di Jepun, dia terpaksa mengikut misa GIRM adaptasi umat Jepun.

Empat tanda gereja benar adalah SATU, KUDUS, KATOLIK dan APOSTOLIK (One, Holy, Catholic and Apostolic). Ini bermaksud Gereja Roman Katolik perlu ada kesatuan, sentiasa universal atau sama diseluruh dunia. Misa RC di Kota Kinabalu mesti sama dengan misa RC di Amerika Syarikat. Misa RC perlu sama walau dimana jua gereja seorang Katolik hadiri (pengecualian diberi kepada gereja Ortodoks). Adaptasi ini akan memusnahkan tanda-tanda gereja benar. Hanya gereja Roman Katolik sahaja, gereja yang diasaskan oleh Tuhan Yesus Kristus, mempunyai empat tanda gereja benar ini. Dengan pelaksanaan GIRM ini, bagaimanakah keadaan gereja nanti? Akibatnya...akan sentiasa ada perubahan...perkataan adaptasi berasal dari perkataan Bahasa Inggeris iaitu 'adapt' yang membawa maksud 'menyesuaikan'. Jika kita renungkan perkataan 'menyesuaikan' ini, ia bermaksud 'membuat perubahan agar penyesuaian dapat dilaksanakan'. Para modenis yang memperkenalkan GIRM ini sedar akan perubahan besar yang bakal berlaku...inilah yang dinanti-nantikan oleh mereka. Suatu misa ciptaan manusia dan bukannya ciptaan Tuhan.

Fikirkanlah...bukankah ini juga lebih kurang sama maksudnya dengan umat 'mengikut arus' (follow the flow); satu teologi baru telah diperkenalkan dalam liturgi. Bukankah Yesus sudah mengatakan Ia akan sentiasa sama; dalam Ibrani 13:8: 'Yesus Kristus tetap sama, baik kelmarin maupun hari ini dan sampai selama-lamanya.' Alasan perlunya GIRM dilaksanakan, adalah agar umat lebih memahami dan mudah menyertai misa. Perlukah adanya perubahan yang mengikut keperluan manusia...bukankah keperluan Tuhan yang patut diutamakan? Bagaimana dengan buahnya nanti jika keutamaan manusia sering ditekankan...manusia menjadi semakin sombong dan perasaan gementar terhadap Tuhan semakin pudar...GIRM hanya menunggu masa kegagalan...

1 comment:

Donatus Justin said...

Kritikan yang bernas dan harus diambil perhatian oleh semua bumat Katolik yang serius terutama pihak berkuasa Gereja di Sabah. Ada sebab kenapa Gereja dipanggil 'Gereja ROMAN Katolik' dan bukan 'Gereja SABAH Katolik' atau nama-nama lain yang bukan Roman.

Adaptasi yang dimaksudkan haruslah menurut acuan ROMAN.