Dalam abad ke-21 ini, zaman teknologi canggih, dimana lelaki dan wanita diberi peluang yang sama untuk mendapat didikan peringkat universiti dan sama-sama berlumba mengejar cita-cita korporat, ramai umat Katolik yang berfikiran liberal, yang inginkan perubahan dan pemodenan dibuat dalam gereja, berpendapat bahawa wanita harus diberi peluang untuk menjadi paderi. Semasa gereja-gereja Protestan dengan berjuta-juta denominasinya diseluruh dunia sedang sibuk mentahbiskan wanita sebagai paderi, Gereja Katolik tetap mempertahankan kedudukannya HANYA mentahbiskan kaum lelaki sebagai paderi. Gereja Katolik dikutuk kerana bersikap demikian dan dituduh tidak menghargai jasa-jasa dan sumbangan kaum wanita (kutukan datang dari umat sendiri dan juga umat Protestan). Apakah pendirian Gereja Katolik dan apakah kata muktamad dari paus tentang isu ini? Jawapannya: HANYA LELAKI DIBENARKAN MENJADI PADERI. KAUM WANITA DILARANG SAMA SEKALI menjadi paderi dan juga 'budak altari'. Apakah sebab-sebabnya?
1. Yesus Kristus adalah ketua paderi
Mengikut Alkitab testamen baru, kepaderian (priesthood) bermaksud Tuhan Yesus Kristus sendiri. Melalui Sakramen Kudus Oder, seorang lelaki yang ditahbiskan menjadi paderi, apabila ia merayakan misa, menjadi 'in persona Christ capasiti' atau 'menjadi Kristus sebenar-benarnya'.
2. Yesus Kristus adalah seorang lelaki
Yesus Kristus adalah seorang manusia yang dilahirkan sebagai seorang lelaki. Ada yang berpendapat isu jantina tidak patut diungkitkan sebagai alasan, kerana wanita juga boleh melakukan kerja yang dilakukan oleh kaum lelaki. Salah faham terhadap gereja berlaku kerana gereja hanya membenarkan lelaki menjadi paderi, justeru ada pihak yang beranggapan semua jasa dan sumbangan wanita tidak dihargai oleh gereja, tidak kurang juga dituduh sebagai anti-feminis. Gereja sebenarnya memandang wanita sebagai tidak kurang pentingnya dari kaum lelaki, cuma kepentingan mereka, dalam pemeliharaan keutuhan iman gereja, adalah dengan memenuhi peranan-peranan kewanitaan mereka bersesuaian dengan panggilan (vocation) yang ditentukan oleh Tuhan. Buktinya - Gereja sentiasa melaung-laungkan devosi kepada Perawan Maria, bonda Yesus Kristus kepada umatnya sebagai jalan penyelamatan pada zaman akhir ini.
3. Kerana Tradisi
Tradisi gereja juga adalah salah satu sebab mengapa hanya lelaki ditahbis menjadi paderi. Dalam 'Jamuan Akhir' Yesus memanggil kesemua duabelas rasulnya tetapi Perawan Maria tidak dipanggil. Maka gereja, yang berpegang kuat kepada tradisinya akan memelihara tradisi ini.
4. Kerjaya sebagai paderi bukan sebagai fungsi semata-mata tetapi penekanan kepada karakter kerohanian yang utuh (indelible)
Ada sesetengah tradisi yang boleh dibatalkan. Tetapi jika tradisi hanya lelaki dipilih menjadi paderi dibatalkan, salah-faham akan berlaku. Ordinasi kaum lelaki sebagai paderi bukan sahaja memberikan mereka keizinan merayakan misa, ia juga melibatkan perubahan karakter kerohanian yang utuh.
5. Ordinasi kaum wanita menjadi paderi melanggar undang-undang gereja
Pentahbisan kaum wanita menjadi paderi adalah melanggar undang-undang Tuhan. Jika ada uskup yang berusaha mentahbiskan wanita sebagai paderi gereja, ia adalah sia-sia belaka kerana ordinasi itu adalah tidak sah. Gereja Protestan yang menyokong dan melaung-laungkan pentahbisan wanita menjadi paderi, mendapati mereka terpaksa mengubah definasi kepaderian dari semasa kesemasa, daripada seseorang yang mendapat karakter kerohanian yang utuh (indelible) sehinggalah kepada peranan paderi sebagai 'fungsi' semata-mata. Dalam sejarah gereja Katolik selama 2000 tahun, sebarang perubahan dalam definasi kepaderian, akan mengakibatkan perubahan dalam doktrin.
Baca versi Bahasa Inggeris dipautan ini:
Pada pendapat saya pula, wanita dilahirkan sebagai manusia yang mempunyai daya-tarikan yang semulajadi kepada kaum lelaki. Tuhan menciptakan Hawa agar menjadi teman kepada Adam. Kita sedia maklum dalam pengiklanan sesuatu produk, kaum wanita mendominasi pekerjaan sebagai peragawati (model) jika dibandingkan dengan kaum lelaki atau peragawan (Dalam erti kata lain, wanita banyak dieksploitasikan demi melariskan sesuatu produk). Kecantikan seseorang wanita apatah lagi jika mempunyai bentuk tubuh badan yang sempurna, dengan senyuman dan lengang-lengoknya yang manja, sentiasa mendapat perhatian daripada kaum lelaki. Sebenarnya ini adalah baik, agar si lelaki dan wanita (yang masih bujang) dapat mencari teman hidup (tetapi mestilah dalam suasana yang sihat, bukan hanya mengikut keinginan hawa-nafsu).
Jika dalam perniagaan, para usahawan, menyedari tentang 'kelebihan' yang ada pada daya-tarikan wanita, mengapa pula Tuhan tidak menyedarinya terlebih dahulu? Tentu ada sebab mengapa Tuhan memilih hanya lelaki sebagai paderi. Tentu ada sebab mengapa Tuhan menjadikannya sebagai TRADISI Gereja. Rasa-rasanya jika wanita diperbolehkan menjadi paderi, tentu ramai tumpuan lelaki akan mudah goyah (kerana syaitan tahu kelemahan lelaki). Maka, TUHAN LEBIH MENGETAHUI SEGALANYA...usahlah manusia, lelaki dan wanita, dengan kepintaran yang terhad, mencabar sesuatu yang telah ditetapkan oleh Tuhan...(kepada pembaca Kristian yang memberi alasan bahawa hal yang dibincangkan diatas tiada dicatitkan dalam Alkitab, ini adalah kerana Gereja Katolik tidak bergantung kepada Alkitab semata-mata). Gereja mempunyai TRADISI, amalan atau pengajaran yang diperturunkan dari satu generasi Kristian kepada satu generasi yang baru, melalui rasul-rasul Tuhan (Ramai umat Katolik yang tidak menyedari tentang hal ini). Renungkan...
No comments:
Post a Comment