Kisah "doomsday" atau "kiamat" yang dijangka (menurut kalendar kaum Maya) sepatutnya berlaku pada 21 Disember tahun 2012 merupakan peristiwa yang membawa banyak pengajaran kepada manusia dimukabumi ini . Umat Kristian yang tahu tentang pesanan Tuhan Yesus tentang hari kiamat tahu bahawa kiamat yang diheboh-hebohkan oleh filem doomsday yang dikeluarkan dari Kota Hollywood adalah perkara remeh, sesuatu yang tidak perlu diberi perhatian atau ditakuti kerana ianya bertentangan dengan pesanan Tuhan Yesus dalam Alkitab.
Bermacam-macam persediaan telah dibuat oleh umat dari pelbagai kaum dan agama, termasuklah umat Kristian yang mudah dipengaruhi kerana iman yang lemah. Tujuan penulis bukanlah memperlekehkan usaha siap-sedia mengharungi malapetaka, tujuan saya cuma satu, iaitu mengingatkan umat bahawa peristiwa atau cerita-cerita doomsday ini sudah diprofesikan akan berlaku dari masa ke semasa. Sebagai umat Kristian, iman kita perlu ringkas, tidak perlu dikomplikasikan dengan berbagai andaian, pengaruh dari filem yang hanya bertujuan untuk mengaut keuntungan besar atau cerita-cerita sensasi yang terbaru. Umat Kristian jika tidak ingin diperbodohkan dengan "mainan duniawi" ini, perlulah meluangkan masa membaca Alkitab, menambah pengetahuan dengan membaca pesanan Yesus tentang hari kiamat agar iman kita tidak mudah goyah dan kita tidak mudah percaya dengan kisah-kisah yang hujung pangkal asalnya tidak diketahui datangnya dari mana.
Apa sebenarnya yang telah berlaku pada 21 Disember 2012? Bermacam-macam kejadian....ada yang betul-betul percaya sehingga mereka berbelanja sakan menghabiskan duit sebab terlalu yakin dunia akan kiamat, melepaskan nafsu sehabisnya melakukan kegiatan yang tidak bermoral, tidak kurang juga yang melawat tempat-tempat pemujaan yang terkenal kerana ingin mati di tempat yang "suci".
Kejadian lucu pun ada juga...ada cerita dari sumber-sumber terdekat, entah betul kah tidak...dalam kesibukan umat dengan persediaan doomsday tersebut, berduyun-duyun membawa lilin ke tempat paderi minta diberkati dan lebih hebat lagi, ada umat yang membawa lampu "pam" sebab menurut fikirannya, alang-alang lebih baik bawa lampu pam sebab ianya jauh lebih terang dari lilin...ya, sungguh lucu bukan!
Nah, saya pun tidak ketinggalan ada cerita sendiri. Pada malam sebelum hari doomsday, saya telah menerima panggilan telefon dari seorang teman. Dia menanyakan bagaimana membuat pengakuan. Menurutnya sudah bertahun-tahun dia tidak membuat pengakuan walaupun hampir setiap minggu dia dan keluarganya menghadiri misa. Lalu, dia mengajak saya pergi bersama dengannya dan mengatakan kalau boleh pengakuan itu mesti dibuat pada hari atau malam itu juga. Saya, dengan selamba menjawab, "kena tengok ada paderi dulu kah tidak". Pada masa itu, saya tidak menyedari, tidak ambil kisah, Sakramen Pengakuan memang bagus untuk semua orang, perlu dibuat dari masa ke semasa. Sehinggalah saya sedari bahawa keesokannya adalah hari "doomsday" dan besar kemungkinan, kemahuan teman saya itu didorongi dengan ketakutan atau keterlaluan percayanya pada hari kiamat yang diheboh-hebohkan satu dunia. Alahai, inilah dikatakan iman jenis "sekejap" sahaja, apa untungnya membuat pengakuan kalau terlalu percaya dengan doomsday yang asalnya dari cerita kaum yang beragama kafir. Akar-umbi kemahuannya untuk membuat pengakuan pun sudah bertentangan dengan ajaran agama Kristian.
Banyak juga yang saya perhatikan umat bukan Kristian yang tidak percaya dengan hari kiamat ini. Lucunya, mereka mengambil kesempatan membuat "promosi" atau "iklan" produk atau servis mereka. Mereka tahu doomsday adalah hari yang dinanti-nantikan oleh umat manusia satu dunia (kebanyakkannya) dan cerita yang paling hangat sekitar masa sebelum doomsday, maka peluang melipat-gandakan perniagaan adalah sangat besar. Ini adalah manusia opportunis.
Begitulah kisah hari kiamat yang paling bersejarah dalam abad ini...lucu, sedih, neutral, bermacam-macam reaksi dari manusia. Tetapi sebagai umat Kristian, renungan diri perlu dibuat...bagaimana dengan iman kita? Sejuk atau panas atau suam-suam kuku...Akhirnya, jalan yang perlu dipilih cuma SATU, bukan dua, bukan tiga.
Semoga diberkati Tuhan selalu!