Cuba kita imbas masa dahulu dimana apabila pasangan Katolik berkahwin, mereka tidak terfikir pun tentang perbezaan sivil dengan gereja. Bagi umat Katolik yang setia dengan ajaran Gereja, mereka hanya tahu perkahwinan HARUS dibuat di Gereja. Mereka tiada niat untuk melanggar undang-undang Tuhan. Kita tahu (kecuali dalam kes-kes tertentu) apabila pasangan berkahwin di Gereja, perkahwinan mereka sekaligus akan didaftarkan dalam rekod gereja dan juga sivil, dan paderi perlu mempunyai lesen mengesahkan perkahwinan yang dirayakan dalam gereja. Dalam keadaan sebegini, pasangan Katolik dianggap telah melalui satu perkahwinan yang sempurna kerana ianya tidak melanggar undang-undang Tuhan. Ibubapa, Paderi, Pasangan Berkahwin dan juga saksi-saksi yang datang menyempurnakan perkahwinan itu telah menjalankan peranan masing-masing tanpa perasaan berbela-bagi. Kita tahu sebelum pasangan berkahwin, mereka dikehendaki mengikut 'Kursus Perkahwinan' yang biasanya dikendalikan oleh katekis gereja dan sebelum mereka berkahwin, diwajibkan untuk menghadiri Sakramen Pengampunan sebagai persediaan penerimaan Sakramen Ekaristi semasa Misa Sakramen Perkahwinan dirayakan nanti. Dalam persekitaran normal, jika tidak ada masalah dalam hubungan pasangan yang hendak berkahwin, tidak ada persengketaan antara keluarga pengantin perempuan dan lelaki, perkahwinan yang sedemikian akan diberkati, sentiasa dilindungi dan dibimbingi oleh Tuhan.
Cuba kita lihat pula dengan tren sekarang. Baru-baru ini saya telah menerima kad jemputan kahwin (bukan kali pertama) dimana pasangan yang hendak berkahwin di gereja ini telah pun mendaftar di mahkamah sivil dan sudah sah menjadi sepasang suamiisteri. Setahu saya, pasangan ini (juga pasangan dari jemputan lain sebelum ini dalam kes yang sama) tidak mempunyai alasan atau masalah yang wajar untuk mereka mendahulukan perkahwinan sivil dari perkahwinan gereja. Ini bermaksud mereka bersikap,
(i) tidak kisah; berpendapat tiada perbezaan antara perkahwinan sivil dengan gereja
(ii) berkemungkinan juga sudah biasa tinggal sebumbung (live together) mengikut tren yang dipromosikan oleh pelakon-pelakon antarabangsa di television dan panggung wayang
(iii) tiada didikan agama
Apa akibatnya, jika perkahwinan sivil didahulukan dari perkahwinan gereja? Umat Katolik perlu diingatkan bahawa Undang-undang Tuhan MENGATASI undang-undang sivil. Ini bermakna pasangan Katolik yang mendahului berkahwin secara sivil membuat dosa melakukan hubungan diluar nikah. Kepuasan duniawi mengaburi fikiran pasangan sedemikian. Mereka hanya mengikut tren masakini, mengikut arus perubahan semasa...uskup, paderi, ibubapa, sanak saudara, sahabat dan masyarakat...tidak ramai yang menyuarakan tentangan dengan cara kehidupan sedemikian; akibatnya ramai yang melakukan perkara yang sama sehingga kelihatannya seperti menjadi sebahagian dari kehidupan 'normal' masyarakat...skandal demi skandal...(Mat 18:7)...dosa di dunia menjadi semakin berat.
Apabila pasangan yang bersikap sedemikian berkahwin di gereja, bukankah ianya akan menyumbangkan masalah kepada pasangan yang sedang berpacaran? atau pun pasangan yang inginkan 'Perkahwinan Sempurna' tetapi diskandali dengan sikap para religius yang tidak lagi mementingkan 'kesucian' (purity) sebelum berkahwin. Atau adakah ini inovasi terbaru dari gereja...buah dari Vatikan ke-2? Kita semua sedia maklum bahawa persekitaran moral dan akhlak pada masa kini mendedahkan godaan dan dugaan yang sangat hebat kepada bukan saja kaum muda-mudi tetapi juga kepada golongan dewasa. Jika ibubapa dan para religius memandang remeh terhadap kesucian diri sebelum berkahwin, bayangkan bagaimana kehidupan generasi di masa akan datang? Bukankah keadaan moral dan akhlak di zaman kita sekarang pun sudah jauh lebih teruk dari zaman Sodom dan Gomorrah? Lagaknya seperti manusia tidak berkesudahan mencetus kemurkaan Tuhan, tidak lagi takut kepada hukuman Tuhan...Kisah banjir besar semasa Zaman Nuh, kisah kehancuran bandar Sodom dan Gomorrah, malapetaka gunung berapi meletup, gempabumi, banjir Tsunami yang telah mengakibatkan berbillion-billion nyawa tergadai masih belum dapat menyedarkan umat manusia...
Bonda Maria ada menyatakan pada tahun 1917 kepada Jasinta, salah satu dari tiga budak di Fatima, bahawa dosa yang paling banyak mengheret jiwa ke neraka adalah dosa kedagingan...(sins of the flesh). Selain itu, Bonda Maria juga ada mengatakan banyak perkahwinan yang tidak lagi baik, banyak perkahwinan yang tidak lagi menyenangkan Tuhan ...renungkan...